Muzzammil bin Alias atau lebih dikenali sebagai WARIS (kadangkala Waris; lahir 18 Julai 1988) ialah seorang penyanyi, rapper dan pelakon lelaki Malaysia. Nama WARIS dipilih daripada maksud anak dari suku biduanda di Negeri Sembilan. Beliau mula mendapat perhatian melalui lagu-lagunya yang popular iaitu "Rembau Most Wanted" dan "Gadis Jolobu". Kreativiti beliau dalam menggabungkan dialek Negeri Sembilan yang unik di Malaysia dengan bahasa Inggeris memberi nafas baru kepada adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan.
Latar belakang
Waris berasal dari Rembau, Negeri Sembilan. Beliau merupakan seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Awam Universiti Tenaga Nasional.[2] Bakat Waris telah dicungkil oleh komposer dan penerbit, DJ Fuzz melalui laman YouTube di mana Waris memuat naik hasil karyanya.[4] Pada 2 Ogos 2015, rapper muda ini selamat bernikah dengan gadis pilihannya, Izzati.[1]
Kerjaya muzik
Rembau Most Wanted
Waris melancarkan album pertama beliau, Rembau Most Wanted pada 14 Oktober 2015.[2] Album tersebut menampilkan 19 buah lagu termasuk koloborasi bersama artis-artis seperti Dato’ Hattan, Mark Adam, Juzzthin, Mas Idayu, Salam Musik, Adeep Nahar dan Iwere. Lagu-lagu seperti Rembau Most Wanted diterima baik oleh industri muzik di Malaysia dengan pencalonan "Lagu Hip-Hop Terbaik" di Anugerah Industri Muzik ke-20[5] manakala Gadis Jolobu berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-29.[6]
Berkolaborasi dengan Nora Danish
Pada tahun 2017, Waris telah berkolaborasi dengan pelakon terkenal iaitu Nora Danish untuk single terbaru berjudul Ini Lagi Boom. Ini merupakan kali pertama artis Nora Danish cuba berjinak - jinak dalam industri nyanyian.[7][8]